Wednesday, March 21, 2007

Muqaddimah

Assalamualaikum kepada semua pencinta ilmu..
Siri Seminar Hukum Islam Semasa anjuran Jabatan Fiqh & Usul APIUM diteruskan lagi setelah menfokuskan beberapa tema semasa. Seminar kali ini akan menumpukan perhatian kepada realiti kedudukan dan amalan mazhab Syafie di Malaysia.
Dari segi sejarah kedatangan Islam ke rantau Alam Melayu, mazhab Syafie merupakan antara mazhab yang dominan dan sesuai diamalkan selaras dengan budaya masyarakat setempat. Mazhab Syafie diterima sebagai mazhab fiqh negara. Peruntukan ini jelas dapat dilihat dalam enakmen agama negeri-negeri serta fatwa-fatwa mufti negeri serta penggunaan dan pengajaran Islam berdasarkan buku-buku beraliran mazhab Syafie.
Justeru kedudukan mazhab ini amat teguh dan kukuh setelah lebih 600 tahun Islam bertapak di Alam Melayu khususnya Malaysia. Sejajar dengan itu, adalah baik kita menilai sejauhmanakah dominasi mazhab ini ke atas umat di Malaysia pada masa sekarang selari dengan perkembangan dan kemajuan teknologi semasa. Adakah mazhab Syafie masih relevan dan diamalkan dengan ketat atau terdapat beberapa perubahan dalam tafsiran hukum yang lebih terbuka oleh sajana kontemporari.
Sehubungan itu, diharapkan seminar ini berupaya memberi jawapan tersebut dengan menghimpun ulama’, ahli akademik, pentadbir agama, berbincang dalam suasana ilmiah dalam berhadapan dengan diversiti mazhab di Malaysia.